Friday, October 21, 2011

PETUA DI DAPUR


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera kepada semua.
Tentu sahaja anda pernah mengamalkan petua-petua ketika memasak di dapur bukan?
Sebenarnya petua dapur sangat berguna dan merupakan antara perkara yang terpenting ketika menguruskan hal-hal memasak di dapur.

Apa yang menarik, ada petua-petua dapur yang dapat melazatkan makanan dan sesetengah petua pula dapat menyenangkan kerja-kerja kita apabila memasak dan sebagainya.

Maklumlah kerja-kerja memasak ini kadang-kadang nampak sahaja mudah tetapi bagi sesetengah orang yang tidak biasa ke dapur ia adalah suatu perkara yang rumit.

Oleh itu petua dapur bolehlah dijadikan satu panduan agar kerja-kerja memasak anda menjadi mudah selain makanan yang dihasilkan berasa enak dan mendapat pujian ramai.

Hari ini saya akan kongsikan beberapa petua dapur yang berguna dalam urusan harian anda di dapur.

Melembutkan cucur

Apa kata anda cuba cara ini jika inginkan cucur yang lembut setelah dimasak. Apa yang anda perlukan adalah bancuh tepung cucur dengan air suam. Kemudian goreng seperti biasa. Pasti rasa cucur akan berasa lembut walaupun setelah ia menjadi sejuk.

Menghilangkan pahit peria

Peria kaya dengan khasiat untuk tubuh anda. Namun rasa peria sememangnya pahit membuatkan ramai yang tidak menggemarinya.

Untuk menghilangkan rasa pahit peria itu, potong peria dan rendam di dalam air berisi garam halus selama 25 minit. Tapiskan airnya dan masaklah peria tadi mengikut resipi anda.
Mengurangkan bau hamis kambing

Untuk mengurangkan bau masakan daging kambing cubalah petua berikut.
Setelah anda menghiris daging kambing lumurkan dengan sedikit tepung gandum dan biarkan selama 15 minit. Kemudian bersihkan dan perahkan dengan sedikit jus limau kasturi atau lemon. Biarkan 30 minit dan bilas. Tapis dan toskan air basuhan. Bolehlah digunakan.

Membersihkan siput sedut

Jika anda menghadapi masalah untuk membersihkan siput sedut, petua berikut mungkin berguna bagi anda.
Ambil sebekas hampas kelapa, gaulkan siput sedut yang masih hidup itu dan biarkan semalaman.

Esoknya barulah anda mengerat bahagian hujung cengkerang siput sebelum dimasak. Dengan cara ini bau lumpur dari siput itu akan hilang, malah bertambah rasa lemaknya apabila dimasak.
'SELAMAT MENCUBA'


No comments: