Friday, August 11, 2017

Hati waja team menakluki gunung ELBRUS



Kuala Lumpur: Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Meskipun pernah diuji dugaan hebat, disahkan menghidap penyakit kanser payu dara pada 2001 dan kanser Acinic Cell Carcinoma pada tahun 2014 namun kekentalan semangat wanita berusia 56 tahun, Renee Aziz Ahmad wajar dicontohi.

Pesara jurutera kanan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad itu bukan saja tidak pernah mengalah dengan setiap ujian yang mendatang, malah berani menyahut cabaran menyertai misi menakluk puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus bersama pasukan Kembara Srikandi Prihatin (KSP) bermula 23 Ogos hingga 5 September depan.
Selain Renee, misi KSP itu turut disertai pendaki berpengalaman Fazilah Abd Manan, Ummu Farah Haidar Zulkifli, wartawan Harian Metro Fairul Asmaini Mohd Pilus, Nir Azmin Adnan dan Nurul Huda Shamsuddin.

Pembabitan wanita itu dalam sukan mendaki gunung bukan baru kerana pada tahun 2005, dia menawan puncak tertinggi di benua Afrika, Gunung Kilimanjaro setinggi 5,895 meter (m) di Tanzania.

Katanya, kejayaan itu cukup bermakna kerana sebelum itu dia berjuang melawan kanser payu dara termasuk menjalani pembedahan, kimoterapi dan radioterapi.
“Siapa yang tidak ‘terduduk’ jika diuji dengan penyakit yang ditakuti semua wanita itu, namun saya memilih untuk terus positif dalam menerus kehidupan kerana percaya ada hikmah di sebalik setiap ujian daripadaNya.

“Jadi, apabila disahkan bebas daripada penyakit itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi dan pada tahun 2007, menyertai misi amal, Climb With PRIDE ke Gunung Aconcagua, Argentina bagi menyebarkan mesej pengesanan serta rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di ibu negara, kelmarin.
Seorang lagi pendaki, Fazilah Abd Manan, 41, berkata, puncak Elbrus menjadi idamannya selepas berjaya menakluk Gunung Kosciuszko, Australia dua tahun lalu.
Dia yang juga seorang pendaki sokongan misi D’Everest, Tibet tahun 2011, berkata, menakluk tujuh puncak tertinggi dunia menjadi idaman setiap pendaki dan juga kemuncak kepada minat yang sudah lama diceburi.
Katanya, pada ekspedisi sebelum ini dia tidak dapat mencapai sasaran peribadi ekoran masalah kesihatan dan mahu menebusnya di Elbrus nanti.
“Saya dan rakan pasukan sudah menjalani ujian kecergasan serta beberapa siri latihan sejak Disember (2016) dan kemuncaknya, kami berjaya menakluk Gunung Kinabalu pada 23 Julai lalu.

“Kami melakukan semua ini bukan disebabkan mahu mengejar kemasyhuran atau keseronokan peribadi, sebaliknya mahu membawa nama Malaysia ke persada dunia.
“Pasukan menggalas tanggungjawab besar kerana misi ini juga adalah salah satu program Negaraku di bawah Pejabat Perdana Menteri dan kami mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 5:14 AM    

SEMOGA SEMUANYA BERJALAN DENGAN LANCAR


 

3 comments:

mamapp said...

Bagusnya dia. Mmg iron lady. Tahniah

Abam Kie said...

sukar mencari perempuan secekal dia skrg.

Delimasari said...

bukan mudah tu - semoga mereka berjaya