FARA FAUZANA berhenti kerana mahu mengembangkan kerjayanya.
Mahu memberi peluang kepada diri sendiri melakukan aktiviti lain, Fara Fauzana mengakui, tempoh 10 tahun bersama Hot FM adalah satu jangka masa yang lama dan pelbagai pengalaman telah ditempuhinya.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk mengorak langkah baharu dalam mengembangkan lagi karier seni saya termasuklah memberikan balik sesuatu kepada masyarakat.
“Antaranya ialah dengan berkongsi pengalaman bersama penuntut di institusi pengajian tinggi yang sebelum ini banyak mengundang untuk mengadakan ceramah tetapi terpaksa ditolak disebabkan kesibukan di konti,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, pengunduran sebagai penyampai radio bukan bermaksud dia mahu bersara, sebaliknya mahu mencari saluran terbaik dalam membantu mengembangkan lagi industri penyiaran radio tanah air. - UTUSAN ONLINE